Tuesday, July 5, 2016

Sayonara Ramadhan

Ramadhan,
Kau datang sekali setahun,
kau datang membawa rahmat,
kau datang membawa ganjaran,
Kedatangan kau menggembirakan seluruh umat.

Ramadhan,
Kerana kau aku berubah,
Kerana kau aku jadi baik,
Kerana kau aku bersemangat,
Kerana kau aku dekat dengan penciptaku.

Masa pun berlalu,

Sepuluh malam terakhir, aku gagahkan diri,
Mencari penghulu segala malam,
Ganjarannya sungguh besar,
1000 bulan yang tiada bandingannya

Masa berlalu lagi...

Lagu-lagu raya mula kedengaran,
Orang ramai sudah mencari pakaian baru,
Orang ramai berduyun-duyun pulang ke kampung masing-masing.
Akhirnya, kau pun mula berkemas.
Engkau hendak pergi meninggalkan kami.

Wahai Ramadhan,
Sungguh aku sedih untuk meninggalkanmu.
Terlalu banyak perkara yang akan kurindukan.
Aku risau jika kau pergi, aku akan teruskan perbuatan maksiatku.
Aku risau jika kau pergi, aku akan kembali dalam kegelapan.

Namun, aku tak mahu tinggalkanmu seperti kau tidak pernah menemuiku.
Akan kuteruskan perjuanganku ini,
Membawa bersama hasil didikanmu,
Menuju negeri akhirat yang kekal abadi.

Semoga kita bertemu lagi tahun hadapan.

Sayonara, Ramadhan!

Monday, June 8, 2015

Kisah Seorang Banduan yang Berputus Asa


Assalamualaikum w.b.t.,

Hari ini penulis akan menceritakan sedikit cerita yang memberi pengajaran yang bermakna. Kisah berikut adalah kisah benar, namun mungkin terdapat beberapa kesilapan (sebab penulis dengar daripada radio :P). Walaubagaimanapun, hayatilah kisah berikut.

Kisah Seorang Banduan yang Berputus Asa

                    Seorang banduan (non-muslim) telah ditahan sebulan yang lalu. Dia mengalami banyak kesukaran sebelum dipenjara. Dia amat tertekan. Dan pada suatu hari, dia nekad untuk membunuh dirinya akibat tertekan. Dia meminum peluntur (chlorox) untuk meracuni dirinya, namun dia dapat diselamatkan oleh warden yang melakukan rondaan di sel-sel penjara tersebut. Dia sempat dibawa ke hospital dan diselamatkan.

                     Setelah beberapa hari, warden penjara yang telah membawanya ke hospital dating melawatinya.

Dia bertanya kepada banduan tersebut, "Mengapakah engkau cuba untuk membunuh diri?"

"2 bulan sebelum saya ditahan, isteri saya meninggal di dalam perjalanan ke hospital. Saya terpaksa menjaga 3 orang anak saya (2 sekolah menengah, 1 sekolah rendah). Saya tak tahu bagaimana untuk menjaga mereka dengan keadaan mereka yang tidak akan menemui ibu mereka selama-lamanya. Saya juga terpaksa bekerja keras untuk mereka. Pasti mereka bersedih dan sering teringatkan ibu mereka." Kata banduan itu.

Dia menyambung lagi, "Pada setiap malam, saya akan bercerita kepada anak-anak saya untuk memberi semangat kepada mereka untuk terus hidup. Kami berpelukan bersama-sama setiap kali selepas bercerita sebelum tidur."

"Dan sebulan yang lepas, ketika saya ditahan dan dibawa pergi untuk ke penjara, saya melihat anak-anak saya menangis, berpelukan bersama-sama. Apa sahaja yang tinggal untuk mereka? Ibu mereka sudah meninggal dunia, bapa mereka pula masuk penjara? Mereka telah hilang banyak benda daripada kehidupan mereka."

Banduan tersebut menyambung lagi, "Dan ketika saya berada dalam penjara, saya sentiasa berfikir pada setiap malam. Saya teringat ketika saya bercerita kepada mereka setiap malam. Sekarang, siapa yang akan bercerita kepada mereka dan memberi mereka semangat untuk terus hidup? Aku terfikir, aku adalah seorang bapa yang teruk, tidak pandai menjaga anak-anaknya."

"Dan ketika itulah, aku nekad untuk membunuh diriku, kerana aku adalah seorang yang sangat tidak berguna."

Warden penjara yang sedari tadi tekun mendengar cerita banduan tersebut, mula membuka bicara,


 "Wahai (banduan), apa yang telah kau ceritakan semuanya benar, isterimu meninggal 2 bulan yang lepas, itu benar. Anak-anakmu menangis ketika kau meninggalkan mereka, itu benar. Namun tidakkah kau terfikir, jika engkau membunuh dirimu, engkau bukan membunuh dirimu, tetapi engkau telah membunuh harapan anak-anakmu untuk meneruskan kehidupan mereka."

"Dan jika engkau tidak membunuh dirimu, mereka masih ada harapan, walaupun tiada siapa lagi, bapa mereka masih hidup danmereka menantikan engkau. Mereka mungkin menanti dan berkata, "Adik-adik, kita akan berjumpa dangan ayah tak lama lagi". Mereka akan masih ada harapan jika engkau teruskan kehidupan kau, walaupun ia amat perit. Bersabarlah, masanya akan tiba."

Dan ketika itulah, banduan tersebut tersentap lantas menundukkan wajahnya dan berkata sambil berlinangan air mata di pipinya, "Mengapakah aku tidak terfikirkan itu semua? Mengapakah aku terlalu bodoh untuk melihat sesuatu yang baik disebalik keburukan?"

Dia menangis dan insaf akan dirinya...



Pengajarannya,

Daripada kisah di atas, kita dapat melihat bahawa, kita mestilah bersangka baik terhadap Allah tentang segala perkara yang telah berlaku dan janganlah kita bersangka buruk terhadap perkara-perkara buruk yang berlaku kepada diri kita.

Mungkin jika kita tak dapat straight A, Allah tak nak kita riya' dan jauh daripadanya. Mungkin kalau kita dipecat daripada bekerja, Allah nak kita sedar, kita mungkin tidak ikhlas dalam bekerja.

Janganlah kita berputus asa untuk terus berharap, kerana Allah tidak pernah mennggalkan hamba-hambanya melainkan hamba-hambanya yang meninggalkannya.

Percayalah, dan jangan sirnakan kepercayaanmu kepada-Nya. Jangan bersangka buruk terhadap Allah, kerana Allah-lah sebaik-baik perancang, dan Dia Maha Mengetahui Segala-galanya.

Percaya dan yakinlah...

*sirna = hilang

Monday, June 1, 2015

Nisfu Sya'ban


Assalamualaikum w.b.t. semua!

                   Saban tahun, kita selalu mendengar peristiwa 'Nisfu Sya'ban' yang semestinya, berlaku pada bulan Sya'ban, bulan ke-8 dalam kalender Hijriah. Namun apakah kita mengetahui apa itu Nisfu Sya'ban yang disebut-sebut ini? Apakah kelebihannya? Nak tahu? Mari menyelaminya!

                   Nisfu Sya'ban dari segi bahasa mengikut bahasa Arab, Nisfu (نصف) bermaksud setengah dan Sya'ban bermaksud bulan ke-8 dalam bulan-bulan Islam yang mengikut peredaran bulan. Nisfu Sya'ban bermakna 'setengah daripada bulan Sya'ban' atau lebih tepat, 15 Sya'ban memandangkan 1 bulan = ~30 hari. Tentunya, dengan tarikh yang sering disebut-sebut ini ada kelebihannya.
  
                   Perlu dinyatakan juga, hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

                   Dalam sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi:

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu seperti keutamaan saya di atas semua nabi dan keutamaan bulan Ramadan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah di atas semua hamba-Nya." Al Hadis ini disahihkan dari beberapa riwayat hadis.

Kelebihan Nisfu Sya'ban
1) Diampuni dosa-dosa hambanya

2) Doa dikabulkan

3) Allah menurunkan rahmat-Nya dengan banyak sekali

4) Allah mengutus Malaikat Jibris a.s. untuk menghiasi syurga

5) Allah melepaskan hambanya dari api neraka pada malam ini sebanyak bilangan bintang di langit, sebilangan hari dan malam di dunia, sebilangan daun-daun pepohonan, seberat gunung-gunung dan sebilangan pasir-pasir

6) Allah menambahkan Air Zamzam pada malamnya

Amalan-amalan yang Digalakkan untuk Dilakukan pada Nisfu Sya'ban

Antara amalan-amalan yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri ialah:

1) Berpuasa pada siangya

2) Bangun malam dan berjaga serta beribadat

3) Banyakkan beristighfar untuk diampuni dosa

4) Banyakkan berdoa kerana doa mudah dimakbulkan

5) Melakukan Solat Nisfu Sya'ban

6) Membaca Al-Quran (Mudah bukan?)

               Tidak lupa juga, banyak fadhilat-fadhilat melakukan amalan-amalan tersebut. Antaranya ialah, panjang umur sihat wal’afiat dan selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.


                Akhir kata, marilah kita menghidupkan malam ini dengan beribadat dan berpuasa pada siangnya untuk merebut segala ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t.
Terdapat banyak lagi kelebihan yang belum dinyatakan tetapi artikel ini sudah saya rasakan cukup panjang. Lagi-lagi, tak ramai yang suka baca artikel yang berjela-jela.

Laman-laman yang berkaitan dengan Nisfu Sya'ban (untuk bacaan lanjut)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Nisfu_Syaaban

http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=302%3Airsyad-fatwa-ke-28-bulan-sya-ban-keistimewanya-mengikut-neraca-nas&catid=48&Itemid=333

http://akuislam.com/blog/mauidzah/kelebihan-malam-nisfu-syaban/

http://www.zakatns.com.my/ver4/tazkirah/128-syaaban-dan-malam-nisfu-syaaban

Selamat beribadah!

Sekian,
Assalamualaikum w.b.t.

Sunday, May 31, 2015

Kalam Pembuka


Assalamualaikum w.b.t.,

Alhamdulillah, syukur ke atas Yang Maha Berkuasa, akhirnya blog atau laman rasmi  bagi Badan Dakwah dan Rohani SMISTA-MAIWP akhirnya tertubuh pada hari ini, 31 Mei 2015.

Di atas cadangan dan persetujuan ahli-ahli BADAR SMISTA tidak lupa kepada guru-guru pembimbing kami, tertubuhlah laman rasmi bagi ahli-ahli BADAR SMISTA untuk menyampaikan dan mentarbiyah pelajar-pelajar SMISTA ataupun sesiapa pun yang membaca blog ini. Walau bagaimanapun, tidaklah tanpa kuasa-Nya, kami tidak mampu menubuhkan laman rasmi ini.

Moto kami 'Amar Makruf wa Nahi 'an Munkar' yang membawa maksud 'menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran' untuk membawa misi kami untuk membentuk dan membimbing pelajar-pelajar SMISTA menjadi pelajar-pelajar yang taat kepada Allah, berakhlak mulia, berilmu tinggi dan berjaya di dunia dan akhirat.

Terima kasih kepada semua yang menyokong, kami berharap BADAR SMISTA akan terus maju dengan kemudahan teknologi yang ada pada zaman kini yang serba canggih untuk merealisasikan impian kami.

Sekian,
Assalamualaikum w.b.t.